SEJARAH SEKOLAH

SEJARAH PENUBUHAN DAN PERKEMBANGAN SEKOLAH.

Nama asal SJK (C) Tampoi ialah Sekolah Hwa Kiaw. Sekolah ini didirikan di Batu 6 1/2 Skudai, Johor pada tahun 1935. Antara pelopornya ialah Liew Yi Ting, Tan Kam Wan dan Teo Kok Ang.

      Selepas Perang Dunia ke-2 iaitu pada tahun 1945, sekolah ini dibangunkan semula oleh penduduk setempat. Pada 15 Mei 1946, bilangan murid hanya seramai 50 hingga 60 orang sahaja. Pada tahun 1951 sekolah ini telah berpindah ke tempat sedia ada sekarang ini.

      Pada tahun1952, sekolah ini telah ditukarkan namanya kepada SRJK (C) Tampoi dengan penambahan murid seramai 700 orang. Kemudian pada tahun 1970, bilangan murid telah bertambah seramai 1000 orang dengan 12 buah bilik darjah untuk sesi pagi dan petang.

     Tanggal 20 Oktober 1985, AJK Murid- Murid Tua mencadangkan pembinaan dewan sekolah. Pada Mac 1987 pula, Bilik Komputer telah dibina dan dirasmikan pembukaannya oleh YAB Dato Muhamed bin Hj. Rahmat. Pada tahun berikutnya, iaitu pada 21 Ogos 1988, upacara meletakkan batu asas pembinaan 4 buah bilik darjah dua tingkat telah berlangsung.

      Pada 22 Oktober 1989, keluarga bekas murid Yap Seng Hock telah menderma sebanyak RM25,000.00 kepada sekolah ini. Sebelum itu pada Mac 1989, Menteri Penerangan Malaysia iaitu YAB Dato Muhamed bin Hj. Rahmat telah memperuntukkan sebanyak RM50,000.00 dan RM30,000.00 dari masyarakat setempat. Ini menjadikan jumlah sumbangan sebanyak RM80,000.00. Seterusnya bangunan dua tingkat yang mengandungi 4 buah bilik darjah dengan sebuah di bawah tanah telah siap dibina.

      Pada awal tahun 1994, projek pembinaan dewan telah bermula dan dirasmikan oleh YAB Dato Muhamed bin Hj. Rahmat dan Dato Yap Seng Hock.

     Selaras dengan perkembangan dunia IT, maka pada tahun 1997, kelas komputer khusus untuk para pelajar belajar komputer telah dilaksanakan pada waktu sekolah. Tahun berikutnya iaitu pada 24 Mei 1998, SJK (C) Tampoi telah menonjolkan imejnya di internet dan telah mencatatkan satu sejarah dalam perkembangan sekolah ini.

     Pada tahun- tahun seterusnya iaitu pada 2002, SJK (C) Tampoi telah mendapat sebuah Makmal Komputer dua tingkat. Sekolah ini terus mengorak langkah dengan mencapai kemajuan yang membanggakan dan memberangsangkan seperti pembinaan bangunan baru 4 tingkat dan telah siap dibina pada tahun 2004. Semua ini adalah kerjasama dan muafakat antara PIBG, Jemaah Pengurus Sekolah dan Persatuan Murid Tua.

    Pada ketika ini, SJK (C) Tampoi mempunyai 35 buah bilik darjah untuk keseluruhan pelajar sesi pagi dan petang. Selain itu, sekolah ini mempunyai dua kelas untuk murid Pendidikan Khas dan satu kelas untuk murid Pra Sekolah.

    SJK (C) Tampoi mempunyai gelanggang bola keranjang, padang permainan dan gelanggang serbaguna untuk pelbagai aktiviti sukan dan permainan. Selain itu, kemudahan- kemudahan asas seperti tandas lelaki dan perempuan pada keseluruhannya telah dibaik pulih. Ini adalah untuk memastikan keadaan sentiasa bersih dan terjaga.